Dilahirkan di Kota Mekah pada tahun Gajah.


Nabi Muhammad saw dilahirkan di Kota Mekah pada 12 Rabiu’l Awal tahun Gajah bersamaan tahun 570 Masehi. Pada tahun kelahiran baginda itulah berlakunya pengepungan tentera bergajah ke atas Kota Mekah yang datang dari negeriYaman kerana mahu meruntuhkan Kaa’bah.


Siti Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab adalah bonda Nabi saw yang suci. Sungguhpun beliau adalah bonda seorang Rasul Allah, bahkan bonda kepada Rasul yang teragung dan terakhir, tetapi sebagai insan biasa, beliau mengandung seperti kebanyakan ibu-ibu yang lain juga. Apa yang membezakannya adalah Siti Aminah tidak merasai penderitaan yang berat sebagaimana kebanyakan ibu-ibu biasa ketika mahu melahirkan bayi mereka.


Ketika tibanya saat untuk melahirkan anak, Siti Aminah yang sedang berbaring di atas ranjang dan ditemani oleh Siti Syifa’ (ibu kepada Abdul Rahman bin Auf), tiba-tiba merasa perutnya sakit kerana mahu melahirkan bayi yang di kandungnya. * pendapat lain mengatakan bahawa Ummu Aiman (hamba ibu Nabi, juga yang mengasuh dan merawat Nabi pada hari-hari awal kelahiran baginda) yang menyambut kelahiran Nabi*.


Saat itu ialah malam isnin bersamaan 12 Rabiu’l Awal bertepatan dengan tahun 570 M, dengan kehendak Allah swt yang telah mengaturkan segalanya, maka lahirlah seorang bayi lelaki yang amat elok rupanya dan sihat badannya. Siti Syifa’ selaku bidan terus menyambut bayi (Nabi) tersebut lalu di bersihkan badan Nabi dengan air, kemudian dibalutnya dengan kain putih yang bersih.


Pada saat baginda dilahirkan, telah berlaku banyak perkara-perkara yang tidak pernah di duga oleh akal manusia. Keajaiban itu berlaku di seluruh alam. Dari depan mata Siti Syifa’ hinggalah ke tepi dunia dan juga ke lapisan langit yang ke tujuh. Peristiwa yang pelik dan aneh yang dapat disaksikan oleh ibu Abdul Rahman bin Auf itu tentang anak sulung Siti Aminah binti Wahab, isteri kepada Abdullah bin Abdul Muttalib ini ialah baginda tidak menangis sebaik sahaja keluar dari perut ibunya, sedangkan belum pernah terjadi dalam sejarah peradaban manusia bahawa bayi yang baru dilahirkan tidak menangis. Ini adalah satu petanda yang agung pada pendapat bidan yang merawat Siti Aminah binti Wahab itu ketika melahirkan bayi sulungnya yang cantik dan bersih.


Nabi ketika dilahirkan tidak menangis seperti kanak-kanak biasa, tetapi baginda telah bersin, sepertimana yang telah terjadi kepada Nabi Adam as ketika baginda mula-mula dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam jasadnya. Setelah hidup dan bernafas, tiba-tiba baginda (Nabi Adam as) pun bersin.


Suasana di dalam rumah Abdul Muttalib ketika Siti Aminah mahu melahirkan bayinya itu hanya diterangi cahaya pelita atau damar sahaja, tetapi sebaik sahaja Nabi dilahirkan, tiba-tiba suasana di dalam rumah itu menjadi terang benderang seperti disuluh oleh cahaya lampu yang terang sehingga menjadikan suasana dalam rumah tersebut seperti keadaan di siang hari. Seolah-olah ada lampu besar yang menyinari ruang bilik tempat Siti Aminah melahirkan Nabi itu. Sesungguhnya ini adalah suatu yang amat aneh sekali.


Di luar rumah pula, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Kaa’bah, semuanya tumbang seperti ditolak oleh satu tenaga yang kuat dari arah Kaa’bah. Peristiwa aneh dan luarbiasa yang berlaku di tempat yang jauh pula ialah api di Farsi yang menjadi pujaan dan sembahan rakyat mereka yang beragama Majusi itu tidak pernah padam sejak dinyalakan tiba-tiba padam dengan sendiri, dan istana Maharaja Farsi, Kisra pula bergoncang.

Manakala di langit pula, para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung, yang akan membawa obor yang terang benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dalam kesesatan.


Bagaimana Nabi saw dinamakan Muhammad?


Setelah Nabi dilahirkan, ibunya Siti Aminah menitiskan airmata kesedihan kerana mengenangkan anaknya yang sudah tidak mempunyai bapa itu. Begitu juga dengan Siti Syifa’, ibu kepada Abdul Rahman bin Auf, merupakan bidan kepada Siti Aminah itu. Pada saat-saat dilahirkan, tentulah seorang bayi itu akan mengharapkan ianya akan dimanja dan dibelai oleh ibu dan ayahnya. Nanti setelah berusia dalam lingkungan dua tahun, tentu ia mahu selalu didukung dan dibawa berjalan-jalan oleh ayahnya. Tetapi sekarang semua harapan dan angan-angan seperti itu tidak akan terjadi lagi ke atas bayi anak Siti Aminah binti Wahab yang cantik itu. Segala-galanya sudah berakhir.


Itulah punca mengapa Siti Aminah dan Siti Syifa’ menitiskan airmata mereka apabila mengenangkan nasib cucu Abdul Muttalib dari zuriat Abdullah yang sudah ketiadaan ayah itu. Namun semuanya adalah takdir yang sudah diatur Allah swt.


Selepas siap memandi, membersih, dan membalut Nabi dengan kain yang bersih, maka Siti Syifa’ pun membawa bayi lelaki Siti Aminah yang comel dan sihat itu keluar dan terus ditunjukkan kepada datuknya yang ketika itu sedang berada di sisi Kaabah menunggu saat-saat kelahiran cucunya yang yatim itu.


Abdul Muttalib yang sudah lanjut usianya dan berusia lingkungan 72 tahun itu terus menyambut cucunya dari tangan seorang bidang yang baik hati. Tanpa berlengah lagi, Abdul Muttalib terus membawa cucunya yang amat disayangi itu ke Kaabah dan terus masuk ke dalam Kaabah.


Sambil menimang-nimang dengan penuh kasih sayang cucunya itu di dalam dakapannya, maka Abdul Muttalib mula memikirkan apakah nama yang bakal diberikan kepada cucu kesayangannya. Dalam masa sedang berfikir itu, tiba-tiba terlintas dalam fikirannya satu nama yang difikirkannya sesuai untuk cucunya yang comel itu. Kemudian Abdul Muttalib keluar dari dalam Kaabah dan terus masuk ke dalam bilik menantunya membawa cucunya itu ke hadapan Siti Aminah yang sedang berbaring dan Siti Syifa’ yang sedang duduk di sisi Siti Aminah itu.


Abdul Muttalib berkata kepada menantunya;

“Ayah mahu menamakan bayi ini Qutsam”.


Siti Aminah terkejut mendengar bapa mertuanya mahu memberikan nama Qutsam kepada anaknya itu. Tanpa membuang masa, dengan suara yang lemah lembut dan perlahan Siti Aminah menyampuk membantah saranan bapa mertuanya itu;

“Wahai ayah, Sesungguhnya saya sudah bermimpi ada satu lembaga yang menyuruh saya namakan anak ini Muhammad”.


Terdiam seketika Abdul Muttalib mendengar nama yang hendak diberikan oleh Siti Aminah kepada cucunya itu. Nama itu belum pernah diberi oleh orang-orang Arab kepada anak-anak lelaki mereka sebelum ini. Kalau adapun amat jarang sekali orang-orang Arab memberi nama anak mereka dengan nama Muhammad. Itupun setelah mereka mendengar berita-berita tentang kelahiran Nabi akhir zaman yang bernama Muhammad yang selalu diberitahu oleh para pendita Yahudi yang mengatakan ianya akan lahir tidak berapa lama lagi.


Mengikut riwayat, cuma terdapat tiga orang sahaja anak-anak yang diberi nama Muhammad oleh bapa mereka di Tanah Arab pada masa itu. Seperti seorang penduduk Yathrib (Madinah) yang bernama Muslamah yang telah memberi nama anaknya dengan nama Muhammad (yang mana akhirnya anaknya itu di kemudian hari menjadi salah seorang tokoh sahabat dari Ansar yang terkemuka), setelah dia mendengar berita-berita dari para pendita Yahudi yang hidup berjiran dengannya tentang akan lahir seorang nabi akhir zaman yang bernama Muhammad.


Muhammad bererti “ Insan Yang Terpuji ”


Kerana ini Abdul Muttalib merasa itu tentulah suara dari Tuhan yang telah memerintah menantunya itu memberi nama “ Insan Yang Terpuji ” kepada cucunya itu. Kerana itu beliau turut bersetuju dengan nama yang indah itu.


Setelah berlalunya tujuh hari dari tarikh kelahiran Nabi saw, maka Abdul Muttalib membuat aqiqah untuk cucunya itu dengan menyembelih beberapa ekor kambing sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan Allah swt kepadanya. Sebagai ganti Abdullah yang telah meninggal dunia dan yang sangat dicintainya itu. Kini anak Abdullah pula telah diberi kepadanya sebagai ganti yang amat sepadan. Bahkan sebenarnya yang amat tidak ternilai harganya kalau Abdul Muttalib tahu. Kerana itu beliau telah mengundang semua pembesar Quraisy untuk makan kenduri aqiqah di rumahnya.


Abu Lahab Amat Gembira dengan Kelahiran Nabi.


Anak Abdul Muttalib yang bernama Abdul Uzza yang dalam sejarah islam lebih terkenal dengan nama Abu Lahab adalah orang yang paling gembira apabila mendapat tahu adik iparnya Siti Aminah yang menjanda itu telah melahirkan seorang anak lelaki yang sihat dan comel. Beliau yang berbadan gemuk dan bermuka merah kemerahan itu terlonjak-lonjak kegembiraan dan kerana sangat gembiranya di atas kelahiran Nabi itu, Abu Lahab terus mengisytiharkan kemerdekaan kepada hambanya yang bernama Thuwaibah al-Aslamiyyah, seorang wanita dari Bani Aslam yang tinggal di pergunungan dekat Mekah dan meminta bekas hambanya itu supaya menyusu anak saudaranya yang yatim itu buat sementara waktu sementara mendapat penyusu upahan.


Memang Abu Lahab telah memerdekakan Thuwaibah pada hari Nabi dilahirkan, tetapi kemudian hari, Thuwaibah telah menjadi hambanya kembali disebabkan hutang yang banyak dan dia tidak dapat lunaskan kepada Abu Lahab yang kaya raya itu.


Perkara ini telah terjadi juga kepada seorang anak pembesar Quraisy yang terkemuka iaitu al-Ass bin Hisyam, saudara kepada Abu Jahal. Kerana kalah berjudi dengan Abu Lahab, al-Ass telah terpaksa menjadi hamba Abu Lahab sehingga ketika terjadi peperangan Badar, Abu Lahab telah menggantikan dirinya dengan al-Ass bin Hisyam ini. Dengan itu terlepaslah Abu Lahab daripada terpaksa ikut berperang di Badar yang diwajibkan kepada semua pembesar Quraisy ikut serta.


Ketika Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid, baginda meminta isteri baginda itu agar membeli Thuwaibah al-Aslamiyyah yang pernah menyusu baginda ketika kecil dahulu. Tetapi Abu Lahab tidak mahu menjualnya kepada Nabi.


Kembali memperkatakan tentang kegembiraan Abu Lahab mendengar Nabi dilahirkan, Abu Lahab telah mengadakan majlis kenduri besar pada hari yang ketujuh menyambut kelahiran anak saudaranya itu. Beliau telah menyembelih beberapa ekor unta sebagai korban aqiqah. Inilah majlis Maulidur Rasul yang pertama diadakan dalam sejarah baginda.


Setelah Nabi berkahwin dan mendapat beberapa orang anak perempuan, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi, iaitu beliau menjodohkan anak sulungnya yang bernama Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum. Ini semua semata-mata beliau sangat kasih kepada anak saudaranya, Muhammad saw.


Namun setelah Muhammad mendakwa diangkat Allah menjadi Nabi dan RasulNya yang terpilih dan akhir zaman, lalu bapa saudaranya, Abu Lahab itu telah menentangnya dengan keras. Beliau menyuruh kedua-dua anaknya iaitu Utbah dan Utaibah supaya menceraikan isteri mereka masing-masing, iaitu puteri-puteri Nabi saw. Lalu kedua-duanya menceraikan, sekalipun Utbah amat cinta kepada Ruqaiyyah yang amat jelita itu. Tapi kerana kehendak ayahnya, beliau menceraikannya juga. Namun Utaibah telah menceraikan Ummu Kalthum yang sangat jelita itu dengan senang hati kerana hatinya lebih kurang sahaja dengan hati ayahnya.


Ketika menghantar Ummu Kalthum ke rumah Nabi saw, Utaibah telah mengambil kesempatan menendang pinggang Nabi dengan kuatnya sehingga Nabi terjatuh. Nabi amat murka terhadap perbuatan saudara sepupunya Utaibah itu terhadap diri baginda. Lalu Nabi menyumpahnya, kata baginda;

“ Wahai Utaibah! Nanti kamu akan dibaham oleh salah seekor daripada singa-singa Allah ”.


Ternyata Utaibah bin Abu Lahab telah dibaham oleh seekor singa di pertengahan jalan ketika dia bersama rombongannya hendak pergi berniaga. Dalam rombongan itu ikut serta juga ayah, saudara-saudara dan para teman ayahnya. Kerana merasa kata-kata dan sumpahan Nabi itu pasti terjadi, Utaibah telah disuruh tidur oleh ayahnya di tengah-tengah ahli rombongannya yang ramai itu. Tetapi singa yang datang pada tengah malam ketika mereka semua sedang tidur telah melompat masuk ke tengah dan membaham Utaibah, mematahkan lehernya lalu matilah dia di situ juga.


Abu Lahab amat sedih dengan kematian anak lelakinya itu. Dialah dalam sejarah Islam orang yang namanya diabadikan dalam al-quran namanya secara terang-terangan sebagai manusia yang sangat celaka. Surah al-Lahab telah memaktubkan kisah kecelakaan Abu Lahab yang Allah swt terus melaknatnya sampailah ke hari Qiamat
.


Nabi Membesar di Desa Bani Saad.


Sebagaimana sudah menjadi adat dan kebiasaan kepada kebanyakan para ibu dari kalangan kaum Arab Badwi yang tinggal jauh di pedalaman, mereka akan keluar setiap ketika ke bandar-bandar secara beramai-ramai untuk mencari bayi-bayi yang baru dilahirkan untuk dipelihara dan disusui. Ini kerana mereka tahu para ibu di kota terutama isteri-isteri para pembesar Mekah dari kaum Quraisy selalu mengharapkan ada para ibu dari desa yang akan datang untuk mengambil upah menyusu anak-anak mereka yang baru lahir itu.


Fenomena ini juga tetap berlaku pada masa Nabi dilahirkan. Berduyun-duyun kaum ibu dari desa telah pergi ke Kota Mekah untuk mencari bayi-bayi yang baru dilahirkan. Mereka berebut-rebut untuk memelihara dan menyusu bayi-bayi anak para penduduk kota terutama anak-anak para pembesar Mekah kerana upahnya yang mahal.


Pada ketika Siti Aminah melahirkan Nabi, telah ramai para wanita desa yang bekerja mengambil upah menyusu bayi telah datang ke Kota Mekah. Kebanyakan mereka tentu berusaha mendapatkan ibu-ibu yang kaya dan mempunyai suami yang masih hidup. Oleh itu kebanyakan kaum ibu Badwi itu tidak begitu berminat untuk singgah atau mendatangi rumah Abdullah bin Abdul Muttalib untuk mencari bayi di rumah itu kerana telah masyhur kepada perempuan-perempuan desa itu bahawa menantu Abdul Muttalib bin Hasyim, pemimpin Quraisy Bani Hasyim itu yang bernama Siti Aminah binti Wahab sudah tidak mempunyai suami lagi. Suaminya sudah lama meninggal dunia sejak mereka baru kahwin dahulu.


Halimah binti Abu Zu’aib as-Sa’adiah yang lebih terkenal dengan nama Halimatus Sa’adiah yang merupakan isteri kepada al-Harith bin Abdul Uzza yang lebih terkenal dengan panggilan Abu Kabsyah masih merayau-rayau di celah-celah lorong di Kota Mekah kerana mencari seorang bayi, tiba-tiba tidak mendapati seorang bayi pun untuk diambilnya sebagai anak susuannya. Ini kerana Halimatus Sa’adiah adalah seorang perempuan desa yang lemah lembut dan tidak suka berebut-rebut untuk mendapatkan seorang bayi sehingga semua bayi yang mempunyai bapa dan dari keluarga yang kaya raya sudah terlepas ke tangan orang lain.


Halimatus Sa’adiah tidak mengharapkan lagi seorang bayi dari keluarga orang kaya dan masih mempunyai bapa. Dia terus menunggu-nunggu, biarlah bayi itu anak dari seorang ibu yang sudah kematian suamipun. Dengan kehendak Allah, ketika merayau-rayau itu akhirnya sampailah Halimatus Sa’adiah di hadapan pintu rumah Abdullah bin Abdul Muttalib.


Setelah Siti Aminah mendengar hasrat Halimatus Sa’adiah, lantas beliau rela menyerahkan anaknya Muhammad kepada Halimatus Sa’adiah untuk disusui dan dipelihara. Dengan sangat gembiranya pulanglah Halimatus Sa’adiah dengan membawa Nabi yang masih bayi bersamanya untuk dipelihara di rumahnya di perkampungan Badwi Bani Saad bin Bakar yang terletak di antara Kota Mekah dan Taif itu.


Sebelum diserahkan kepada Halimatus Sa’adiah, Nabi Muhammad saw telah sempat disusui oleh ibunya hanya seminggu sahaja kerana selepas itu Nabi disusui pula oleh Thuwaibah al-Aslamiyyah, hamba kepada Abu Lahab, kemudian barulah Nabi diambil oleh Halimatus Sa’adiah untuk dibawa pulang ke desanya yang masyhur mempunyai iklim yang paling baik sekali dan amat sesuai sebagai tempat membesar anak-anak.


**( Thuwaibah al-Aslamiyyah juga menjadi ibu susuan kepada Hamzah bin Abdul Muttalib dan Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi. Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi yang merupakan suami kepada Ummu Salamah binti Zatur Raqib (Abu Umayyah) yang lebih terkenal dengan gelaran Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumi itu adalah saudara sesusu kepada Nabi saw dan juga sepupu baginda. Ini kerana ibu kepada Abu Salamah adalah Birrah binti Abdul Muttalib ialah ibu saudara kepada Nabi saw. Begitu juga dengan Hamzah bin Abdul Muttalib, selain bapa saudara kepada Nabi, dia juga adalah saudara sesusu Nabi. )**


Setelah mendapat Nabi, maka dengan gembiranya Halimatus Sa’adiah terus membawa Nabi yang berusia beberapa minggu itu pulang ke desanya. Sebelum perjalanan ke Kota Mekah, Halimatus Sa’adiah telah berkata;

“Tahun ini kemarau, tidak ada satu apapun yang tinggal kepada kami, saya berangkat (bersama-sama suami dan seorang anak yang sedang menyusu menyertai para ibu yang lain) dengan menunggang keldai yang keputih-putihan. Selain itu, kami juga membawa seekor unta tua yang tidak lagi mengeluarkan susu walaupun setitik. Malam hari kami tidak dapat tidur kerana anak kami sering menangis tidak dapat tidur kerana kelaparan. Air susu saya tidak dapat lagi mengenyangkannya. Susu unta juga tidak ada, akan tetapi hati kami tetap mengharapkan pertolongan dalam kelaparan itu.”


“Pada malam itu saya berangkat dengan menunggani keldai saya yang cepat lelah kerana kurus dan lemahnya. Akhirnya sampailah kami ke Mekah untuk mencari anak yang akan disusukan. Sebenarnya Rasulullah saw telah ditawarkan kepada setiap orang daripada kami (ibu-ibu susu yang datang bersamanya) supaya memelihara baginda saw. Tetapi semuanya tidak mahu menerima tawaran tersebut kerana anak itu disebut orang anak yatim.


Kami datang kepada ibunya sambil mengharapkan upahnya. Maka kami terfikir, apakah yang dapat ibunya berikan kepada kami (kerana ibu itu tidak mempunyai suami dan miskin pula). Ini adalah anak yatim, apakah yang dapat diberikan oleh ibunya kepada kami sebagai upahnya kalau kami memelihara dan menyusu Nabi?. Kerana itu kami tidak mengambilnya. Demikianlah setiap orang wanita yang datang bersama saya sudah mendapatkan anak susuannya untuk mereka bawa pulang ke kampungnya di pergunungan. Saya pun berkatalah dalam diri saya;

“Demi Allah! Saya mesti pergi mengambil anak yatim tersebut, biarlah saya ambil dia”. Suami saya pun berkata; “Tidak apa, ambillah. Moga-moga Allah memberi berkat kepada kita memeliharanya.”


Sebenarnya tidak ada yang mendorong saya mengambilnya selain daripada kerana tidak ada anak yang lain untuk dipelihara. Lalu saya pergi mengambilnya dan terus saya bawa ke tempat perhentian unta kami. Baru sahaja saya letakkan cucu Abdul Muttalib itu dipangkuan saya, dia pun terus menyusu, minum dengan semahu-mahunya sampai puas. Saudaranya (anak Halimatus Sa’adiah) juga menyusu bersama dia. Kemudian keduanya terus tidur, padahal sebelum itu kami tidak dapat tidur bersama dia (anaknya kerana terus menerus menangis kerana kelaparan, disebabkan kekeringan susu).


Suami saya pergi ke tempat unta kami. Dilihatnya unta kurus itupun sudah penuh dengan susu. Lalu diperahnya dan dibawanya pulang. Kami pun dapat tidur malam itu dengan nyenyak dan lena sekali. Pada pagi hari, suami saya berkata kepada saya;

“Percayalah Halimah, Demi Allah! Bahawa engkau sudah mengambil anak yang berkat sekali”. Saya menjawab; “Saya pun sungguh mengharap sesuatu yang seperti itu”.


Demikianlah kami pun menuju ke tempat kediaman kami bersama dengan Muhammad. Demi Allah! Perjalanan kami amat cepat sekali. Tidak ada himar teman-teman saya yang dapat mengikuti perjalanan kami. Sehingga kawan-kawan saya sampai berkata kepada saya;

“Wahai Halimah! Kasihanilah sedikit kepada kami. Bukankah ini himar engkau yang kelmarin yang engkau bawa ke Mekah?” setelah itu, saya pun mengiyakannya. Maka kawan-kawan saya pun berkata lagi; “Demi Allah! Tentu ada sesuatu yang telah terjadi”.


Demikianlah kami sampai di perkampungan Bani Saad. Saya tidak tahu apakah ada lagi tempat yang lebih kemarau dari tempat kami itu. Sungguhpun demikian waktu kami sampai, saya lihat kambing-kambing kami semuanya sudah kenyang dan susunya pula penuh dengan air. Lalu kami perah dan minum. Sedang teman-teman yang lain tidak ada yang memerah susu kambing mereka. Kerana setitik pun susu tidak ada pada kambing-kambing mereka. Ini menimbulkan kehairanan kepada jiran-jiran saya; mereka berkata;

“Wahai Halimah! Sungguh beruntung kamu kerana memelihara anak Aminah itu. Sesungguhnya bayi itu membawa keberkatan kepadamu”.


Orang-orang ditempat kami itu sampai ada yang berkata kepada pengembala-pengembala mereka; “Celaka kita! Lepaskanlah kambing-kambing kita ke tempat Halimah melepaskan kambingnya”.


Walaupun demikian, kambing-kambing mereka tetap kembali dengan lapar juga. Tidak ada yang mengeluarkan susu setitik pun. Sedangkan kambing-kambing kami pulang dengan kenyang dan penuh dengan susu. Demikianlah kami terus menerus memperoleh tambahan dari Tuhan Yang Maha Kuasa sehingga genaplah umur Muhammad dua tahun, iaitu ketika masanya dia berhenti menyusu”.


Demikianlah cerita ibu pengasuh dan penyusu Nabi saw sendiri tentang keberkatan Nabi ketika tinggal bersama keluarganya sehingga Allah mencurahkan kepada mereka rezeki yang melimpah ruah tanpa dapat difikirkan bagaimana ianya boleh berlaku.


Nabi dipelihara oleh Halimatus Sa’adiah sekeluarga dengan baik sekali. Abu Kabsyah dan anak perempuannya yang bernama Asy-Syima’ telah menjaga Nabi dengan baik. Nabi tinggal di rumah Halimatus Sa’adiah sejak umur Nabi saw beberapa minggu sampailah ke usia 2 tahun. Selama masa itu Nabi terus membesar di dalam udara yang baik sehingga Nabi menjadi seorang anak yang amat sihat dan cantik.


Mengikut cerita Halimatus Sa’adiah lagi, bahawa pertumbuhan dan kesihatan Nabi dalam proses pembesaran tubuhnya amat luarbiasa sekali. Kata Halimatus Sa’adiah, ketika Nabi saw berusia 2 tahun, badan Nabi sudah begitu keras dan kuat.


Setelah genap 2 tahun Halimatus Sa’adiah menyusui Nabi saw, tugasnya dalam memelihara, menyusu dan menjaga Nabi sudah selesai. Oleh itu beliau tidak lagi mahu menanggung risiko kalau ada apa-apa yang terjadi ke atas diri Nabi saw kerana masa penyusuannya sudah habis. Lalu dia membawa Nabi saw ke Mekah untuk diserahkan kembali kepada ibu baginda, Siti Aminah.


Setelah menyerahkan Nabi saw kepada ibunya Siti Aminah, Halimatus Sa’adiah tidak sampai hati untuk berpisah dengan Nabi saw yang kasih sayangnya sudah terserap masuk ke dalam lubuk hatinya terhadap Nabi saw. Di atas sebab itulah Halimatus Sa’adiah telah meminta izin kepada Siti Aminah untuk membawa sekali lagi Nabi kembali ke rumahnya untuk dipeliharanya. Siti Aminah mengizinkan kepadanya untuk membawa Nabi saw ke rumahnya sekali lagi. Tetapi tidak dapat dipastikan berapa lama Nabi saw tinggal di rumah ibunya sebelum baginda diserahkan sekali lagi kepada Halimatus Sa’adiah.


Apakah Halimatus Sa’adiah terus membawa Nabi saw pulang ke rumahnya pada hari dia memulangkan Nabi kepada ibunya atau dia datang pada hari yang lain untuk mengambil baginda?

Itu tidak dapat dipastikan, yang nyata ialah Siti Aminah hanya memelihara Nabi saw sebentar sahaja selepas dihantar pulang oleh Halimatus Sa’adiah kepadanya. Selepas itu Nabi dibawa pulang kembali ke rumahnya di perkampungan Bani Saad bin Bakar oleh ibu susunya. Hiduplah Nabi saw di perkampungan itu sekali lagi sejak dari umur 2 tahun bersama-sama kakak-kakak dan adik-adik susuan baginda sehinggalah mencapai umur 4 tahun 2 bulan (50 bulan).


Sebagai seorang insan yang telah dilengkapi dengan akhlak yang mulia dan agung, maka Nabi telah memperlihatkan sifat-sifat baginda yang agung dan mulia itu kepada anak-anak Halimatus Sa’diah. Baginda bermain-main dengan mereka dan membela kambing-kambing Abu Kabsyah bersama mereka. Nabi menjalani kehidupan yang amat sederhana sekali bersama-sama saudara sesusuannya itu. Baginda bergaul dengan saudara-saudara susuan baginda itu seperti baginda bergaul dengan saudara-saudara baginda sendiri, meskipun baginda tidak mempunyai adik-beradik. Nabi saw bermain dan bersuka ria di perkampungan Badwi itu.


Sebenarnya Abu Kabsyah dan Halimatus Sa’adiah tidak membenarkan Nabi saw menjaga kambing-kambing mereka sebelum Nabi mencapai usia 4 tahun. Setelah mencapai umur itu, barulah Abu Kabsyah membenarkan Nabi saw menjaga dan memelihara kambing-kambingnya bersama-sama kakak-kakak, abang-abang, serta adik-adik susuan baginda. Baginda pula bercakap dengan mereka menggunakan bahasa Arab yang fasih. Ini kerana Bahasa Arab kabilah Bani Saad adalah satu-satunya kabilah yang paling fasih bahasa Arabnya. Dalam hal ini, Nabi saw telah bersabda;

“Aku adalah orang yang paling fasih di antara kamu, dan aku orang Quraisy yang dibesarkan di dusun keluarga Bani Saad bin Bakar”.


Nabi Muhammad saw terus dibesarkan di perkampungan Bani Saad bin Bakar itu dalam suasana udara desa yang segar dan bersih. Sehingga Nabi muncul menjadi seorang kanak-kanak yang cergas, sihat, gagah, keras semangat, berwawasan, di samping sifat-sifat semulajadinya yang dikurniakan oleh Allah swt iaitu amat kacak dan tampan.


Dada Nabi saw di Belah oleh Dua Malaikat.


Diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam, bahawa ketika Nabi saw berusia antara dua hingga empat tahun, telah terjadi satu peristiwa yang amat menakutkan keluarga Halimatus Sa’adiah, ibu susu baginda saw sehingga mereka tidak berani lagi untuk memelihara Nabi saw dengan lebih lama. Peristiwa itu ialah tentang pembelahan dada Nabi saw oleh dua malaikat. Ketika itu Nabi saw dan anak-anak Halimatus Sa’adiah sedang berada di belakang rumah mereka kerana melihat anak-anak kambing Abu Kabsyah yang baru beranak.


Tiba-tiba tanpa disangka-sangkan menjelma dua orang lelaki yang kacak dan menawan dengan berpakaian jubah putih, lalu berjalan mendekati Nabi Muhammad saw dan membawa baginda ke suatu sudut tidak jauh dari tempat kambing-kambing mereka itu. Kedua-dua orang lelaki yang berjubah putih itu lalu menidurkan Nabi saw kemudian membuka baju baginda dan kemudian membelah dada baginda.


Ibnu Hisyam meriwayatkan dalam kitab sejarahnya; Halimatus Sa’adiah bercerita;

“Demi Allah, setelah beberapa bulan dari kepulangan kami dari Mekah, pada suatu hari, sewaktu dia (Nabi) dengan saudaranya (anak-anak Halimatus Sa’adiah) berada di tempat anak-anak kambing kami di belakang rumah kami, tiba-tiba datanglah saudaranya itu berlari kencang. Ia berkata kepada saya dan ayahnya;

“Saudara saya orang Quraisy itu telah ditangkap oleh dua orang lelaki yang berbaju putih. Setelah itu dia ditidurkan miring, lalu dibedah perutnya. Yang membelahnya ialah dua orang yang menangkapnya itu. Kedua-duanya kelihatan menggerak-gerakkan badannya.”


“Mendengar berita tersebut, saya bersama-sama ayahnya dengan segera pergi ke tempatnya itu. Kami dapati ia (Nabi) sedang berdiri dengan wajah yang pucat. Saya terus memeluknya, demikian juga ayahnya. Kami bertanya kepadanya;

“Mengapa engkau wahai anakku?”.


Jawabnya; “Telah datang dua orang lelaki dengan memakai pakaian putih kepada saya. Mereka terus menangkap saya, kemudian menidurkan saya, lalu membelah perut saya. Keduanya mencari sesuatu di dalam perut saya, saya tidak tahu apa yang mereka carikan itu.”


Mengikut kata Halimatus Sa’adiah seterusnya, dia bersama-sama Nabi terus balik ke rumahnya. Suaminya, Abu Kabsyah yang sudah mula diselubungi perasaan takut dan bimbang terhadap keselamatan anak angkatnya itu berkata kepada isterinya, Halimas Sa’adiah;

“Halimah! Saya takut anak ini kena apa-apa. Bawalah dia kembali kepada keluarganya sebelum terjadi apa-apa yang aku bimbangkan itu”.


Sejak hari itu, Abu Kabsyah dan Halimatus Sa’adiah tidak lagi membenarkan Nabi saw bermain di tempat yang difikirkan akan membahayakan keselamatan diri Nabi. Mereka mengingatkan anak-anak mereka agar menjaga keselamatan Nabi dengan bersungguh-sungguh agar peristiwa yang sudah terjadi itu tidak berulang lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada orang jahat yang berniat tidak baik terhadap Nabi saw.


>>>.....3