Datuk Nabi saw.


Qusai bin Kilab adalah datuk nabi yang ke 4. Qusai adalah nama samarannya yang masyhur adapun namanya yang sebenar ialah Amru. Kilab juga adalah nama samaran (yang bererti anjing) kerana dia memelihara beberapa ekor anjing yang digunakan untuk berburu, namanya yang sebenar adalah Hakim.


Qusai bin Kilab atau Amru bin Hakim adalah pembesar Quraisy yang pertama memegang banyak jawatan di Mekah. Beliau mendapat jawatan Al-Hijaabah ( pemegang kunci Ka’bah) dari suku Khuzaa’ah pada usianya 50 tahun, kaum Khuzaa’ah memegang kekuasaan dan jawatan-jawatan penting di Kota Mekah. Khuzaa’ah telah merampasnya daripada tangan kaum Jurhum yang merupakan datuk nenek Qusai yang bersambung hingga kepada nabi Ismail as.

Kilab bin Murrah (datuk nabi yang ke 5), berkahwin dengan Fatimah binti Saad bin Sayal, mereka dikurniakan 2 orang anak lelaki iaitu Zuhrah dan Qusai. Kilab meninggal dunia ketika Qusai masih terlalu kecil, kerana itulah Qusai tidak sempat mengenali wajah ayahnya.

Setelah itu, Fatimah binti Saad bin Sayal telah berkahwin buat kali ke 2 dengan seorang lelaki yang bernama Rabiah bin Haram. Tidak lama selepas itu, Rabiah bin Haram membawa isterinya dan kedua-dua anak isterinya (Zuhrah & Qusai) ke negeri Syam, setelah itu Rabiah bin Haram mendapat seorang anak lelaki yang bernama Darraj (adik tiri Qusai). Mereka membesar di negeri Syam bersama-sama kanak-kanak orang Syam. Maka membesarlah Qusai bin Kilab menjadi seolah-olah seperti anak negeri Syam sejati, berkelakuan seperti orang Syam. Selama itulah Qusai menyangka Rabiah bin Haram itu adalah bapa kandungnya.

Rahsia itu akhirnya terbongkar jua, pada suatu hari telah terjadi pertengkaran hebat diantara Qusai dan saudara seibunya iaitu Darraj. Qusai yang selama ini menyangka Rabiah bin Haram adalah ayah kandungnya telah mengadu kepada Rabiah bin Haram mengenai pertengkaran tersebut dengan menunjukkan sikap mesra dan manja agar ayah tirinya itu membelanya.

Kaum Rabiah bin Haram yang mengetahui kedudukan sebenar anak-anak Rabiah bin Haram itu melihat tindakan Qusai yang telah mengadu kasih kepada Rabiah bin Haram. Mereka telah mengejek Qusai dengan mengatakan usahlah dia cuba mengadu dan meminta pembelaan dari Rabiah bin Haram, kerana orang yang selama ini dianggapnya sebagai ayah kandungnya itu sebenarnya adalah ayah tirinya.

Qusai bin Kilab berasa tersinggung mendengar ejekan kaum Rabiah bin Haram ke atas dirinya dan berasa amat terhina sekali. Lantas Qusai mengadu kepada ibunya sendiri iaitu Fatimah binti Saad bin Sayal. Akhirnya Fatimah telah menceritakan kedudukan yang sebenarnya tentang diri anaknya Qusai bin Kilab itu.

Fatimah binti Saad bin Sayal memberitahu bahawa Rabiah bin Haram itu adalah ayah tirinya, dan ayah kandung Qusai adalah Kilab bin Murrah yang berasal dari Kota Mekah dan telah meninggal dunia ketika Qusai masih kecil. Fatimah melanjutkan cerita kepada anaknya (Qusai bin Kilab) bahawa kaum kerabat ayahnya (Kilab bin Murrah) adalah penduduk asal Kota Mekah sejak zaman-berzaman lagi, mereka tinggal berdekatan Masjidil Haram iaitu Kaa’bah. Fatimah juga memberitahu bahawa martabat ayahnya (Kilab bin Murrah) adalah lebih tinggi dan mulia jika dibandingkan dengan darah keturunan ayah tirinya (Rabiah bin Haram) itu.

Fatimah binti Saad bin Sayal menceritakan kepada anaknya (Qusai bin Kilab) tentang asal keturunannya itu bukanlah kerana mahukan Qusai kembali kepada lubuk keluarganya di Mekah tetapi kerana dia terpaksa menceritakan. Fatimah binti Saad bin Sayal tidak mahu anaknya (Qusai bin Kilab) yang cerdik itu menjadi derita memikirkan nasib dirinya yang tidak diketahui siapakah ayah kandungnya dan jika masih hidup, di manakah ayahnya itu berada.

Hanya dengan menceritakan tentang kedudukan suaminya ( Kilab bin Murrah) itu sahajalah yang dapat melegakan perasaan anaknya (Qusai bin Kilab) yang dilanda keresahan fikiran itu. Fatimah binti Saad bin Sayal tahu bahawa ceritanya itu boleh menyebabkan dia akan berpisah dengan anak yang amat disayanginya itu. Kerana itulah Fatimah binti Saad bin Sayal tidak berniat untuk menceritakan kisah yang sebenarnya kepada anaknya (Qusai bin Kilab) itu. Tetapi apakan daya, semuanya adalah untuk kebaikan Qusai bin Kilab itu sendiri.


Qusai bin Kilab kembali ke Kota Mekah.

Walaupun Qusai bin Kilab tahu bahawa bukanlah maksud ibunya menceritakan tentang kedudukan ayahnya Kilab bin Murrah itu dengan maksud inginkan dia kembali ke Mekah, tetapi Qusai terpaksa kembali juga ke Mekah dan menghubungkan dirinya dengan kaum kerabatnya di sana. Dia perlu bertindak segera kerana di Syam dia tidak mempunyai pembela lagi selepas mengetahui bahawa ayahnya iaitu Rabiah bin Haram itu bukanlah ayahnya yang sebenar. Lebih baik dia mengikat dirinya ke dalam kelompok kaum kerabatnya sendiri iaitu kaum Quraisy di Mekah kerana kaum Quraisy adalah satu kelompok kaum yang lebih mulia daripada seluruh kaum di bumi Arab.

Qusai bin Kilab tidak mahu terus menjadi pengembara kerana jika dia tinggal di negeri Syam bererti dia adalah keluarga perantau atau pengembara. Kerana itulah akhirnya Qusai bin Kilab telah membawa dirinya ke Mekah untuk hidup bersama-sama kaumnya, kaum Quraisy di Kota suci pusaka Nabi Ismail as.

Setibanya Qusai bin Kilab di Mekah, dia dapati penguasa Kota Mekah sedang berada di dalam kaum Khuza’ah, bukan lagi di tangan kaum Jurhum yang merupakan pemerintah Kota Mekah yang sebenarnya. Bahkan kaum Khuza’ahlah yang menguasai semua kepentingan di Mekah. Zaman keemasan kaum Arab Jurhum yang merupakan kaum Nabi Ismail as kerana isteri Nabi Ismail as adalah wanita Jurhum telah berlalu ditelan zaman. Di Mekah, kaum Jurhum masih lagi ramai yang tinggal di sana, tetapi mereka tidak lagi bernama Jurhum, sebaliknya bertukar warna dengan mendapat nama baru iaitu Quraisy. Mereka hanya menjadi kaum kelas kedua sahaja. Kerana pada zaman ini kaum Khuza’ah adalah pemegang kendali pemerintahan di Kota Mekah.

Qusai bin Kilab perlu melakukan sesuatu, dia perlu berusaha mengembalikan maruah kaumnya yang telah dirampas oleh kaum Khuza’ah itu. Qusai bin Kilab perlu bertindak bijak dan cekap. Qusai bin Kilab memang mempunyai semua keistimewaan yang disebut itu. Tidak perlu sesiapa mengajarkannya kerana dia adalah darah keturunan Quraisy yang bersambung dengan darah Nabi Ismail as dan Nabi Ibrahim as. Dia adalah anak kepada Kilab bin Murrah yang mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat Kota Mekah pada zamannya.

Ketika Qusai bin Kilab sampai di Mekah, dia mendapati pemegang kunci Kaabah sedang berada ditangan seorang yang bernama Hulail bin Hubsiyah yang sememangnya dari suku Khuza’ah. Hulail bin Hubsiyah ini adalah seorang pembesar Khuza’ah yang cerdik dan pintar. Memanglah kebanyakan orang-orang Khuza’ah lebih cerdik dan lebih pintar berbanding dengan orang-orang Jurhum pada masa itu. Oleh itu Qusai bin Kilab mahu menjadikan dirinya lebih pintar daripada Hulail bin Hubsiyah. Dia cuba mendekati penjaga Kaabah itu dan mahu bergaul dengannya serapat-rapat yang boleh.

Setelah bergaul rapat dengan Qusai bin Kilab, maka terasalah Hulail bin Hubsiyah bahawa betapa sahabatnya orang muda yang bernama Qusai bin Kilab itu adalah seorang pemuda yang mempunyai bakat yang sangat besar di dalam mentadbir negeri, seorang yang bijak dan pintar, di samping seorang pemuda yang kacak dan segak. Oleh itu, Hulail bin Hubsiyah tidak mahu perhubunganya dengan Qusai bin Kilab hanya setakat tangga rumah sahaja, dia mahu Qusai bin Kilab masuk dan bercampur gaul di dalam rumahnya. Oleh itu, Hulail bin Hubsiyah telah menjalankan jarum taktiknya sehingga Qusai bin Kilab jatuh cinta kepada anak perempuannya yang cantik jelita bernama Hubba.

Melihat Qusai bin Kilab telah tertarik kepada anak perempuannya, maka Hulail bin Hubsiyah merasa sangat gembira kerana apa yang dirangcangnya telah mengena. Tetapi bagi diri Qusai pula, itu adalah seperti kata pepatah, “orang mengantuk, di surungkan bantal”. Kerana memang niat Qusai bin Kilab yang berusaha untuk mendekati dan menarik minat Hulail bin Hubsiyah kepada dirinya memang sesuatu yang sudah dirancangnya. Qusai bin Kilab sememangnya mahu merampas kembali hak kaum Quraish sebagai pemerintah Kota Mekah dari tangan kaum Khuza’ah, dan sedikit demi sedikit sudah berjalan perlahan-lahan menuju maksudnya.

Qusai bin Kilab yang cerdik itu tidak mahu melepaskan peluang yang sedang datang bergolek ke arahnya itu. Hatinya cukup gembira kerana dia ada menyimpan niat yang tiada seorang pun tahu terhadap diri Hulail bin Hubsiyah itu. Seterusnya Qusai bin Kilab pun menjalankan siasahnya dengan penuh hati-hati agar niatnya yang besar dan mengancam nyawanya sekiranya diketahui oleh kaum Khuza’ah, penguasa Kota suci itu agar tidak terbongkar.

Berkahwin dengan Anak Perempuan Hulail.

Akhirnya perhubungan antara Qusai bin Kilab dengan Hulail bin Hubsiyah, pemegang kunci Kaabah itu menjadi sungguh erat dan tidak boleh dipisahkan. Kerana sangat kasihnya Hulail kepada Qusai, telah menyebabkan dia mengahwinkan anak perempuannya yang cantik jelita yang bernama Hubba itu dengan Qusai bin Kilab.

Dengan berkahwinnya Qusai dengan Hubba, maka berubahlah rupa bentuk kehidupan Qusai. Qusai bin Kilab tidak lagi menjadi kaum kelas kedua di Kota Mekah seperti kaumnya bangsa Quraisy. Bahkan dia dikira sudah termasuk ke dalam golongan kaum elit Mekah bersama kaum Khuza’ah yang merupakan kaum Arab kelas pertama di Kota suci itu.

Qusai bin Kilab sangat sayang dan cinta kepada isterinya, begitu juga dengan isterinya itu. Dalam keadaan itu, Qusai bin Kilab semakin terasa bahawa satu jawatan penting Kota Mekah semakin bergerak masuk ke dalam genggamannya. Bukankah Hulail bin Hubsiyah itu bapa kepada isterinya? Yang amat menyayangi anaknya Hubba? Juga merupakan pembesar kaum Khuza’ah yang di beri tugas memegang kunci Kaabah?

Kalau begitu, ke mana lagi hendak Hulail bin Hubsiyah itu serahkan kunci Kaabah itu kalau bukan kepada anaknya yang paling ia cintai iaitu Hubba, isteri Qusai? Inilah yang membuatkan hati Qusai semakin berangan-angan tinggi untuk menjadi pemegang kunci Kaabah.

Setelah hari demi hari berlalu, nampaknya Hulail bin Hubsiyah yang semakin tua itu tidak nampak ada ura-ura untuk bersara daripada menjadi pemegang kunci Kaabah. Kerana itu harapan Qusai untuk menjadi pemegang kunci Kaabah seterusnya menjadi perintis untuk mengembalikan petadbiran Kota Mekah ke tangan Kaum Quraisy semula nampaknya hambar.

Untuk itu Qusai tidak lagi mengharapkan kunci Kaabah jatuh dengan cepat ke dalam tangannya. Dia tidak mengharapkan lagi, biarlah bapa mertuanya yang telah tua itu terus memegang kunci Kaabah sampai bila-bila. Biarlah Hulail bin Hubsiyah masuk ke dalam kubur dahulu barulah kunci Kaabah itu di serahkan kepada isterinya. Kerana itu, Qusai telah berusaha memajukan dirinya untuk menjadi seorang pedagang yang kaya-raya. Akhirnya di atas usahanya yang bersungguh-sungguh di dalam bidang perniagaan, maka Qusai bin Kilab telah muncul menjadi seorang saudagar besar Mekah yang wangnya melimpah ruah.

Setelah Qusai bin Kilab muncul menjadi seorang pedagang yang berjaya dan kaya raya, maka kaumnya semakin menghormatinya. Begitu juga dengan kaum Khuza’ah, tentulah mereka juga turut memberi penghormatan yang setingginya kepada Qusai bin Kilab. Kaum Khuza’ah sangat menghormatinya disamping seorang pedagang berjaya, Qusai juga adalah seorang tokoh politik yang mempunyai kebolehan yang besar di dalam pentadbiran. Mereka memandang bahawa Qusai bin Kilab adalah orang yang paling layak untuk memegang jawatan-jawatan penting. Oleh itu, dia sangatlah patut diberi jawatan-jawatan penting di dalam pentadbiran Kota Mekah yang sekarang banyak dipegang oleh kaum Khuza’ah itu.

Qusai Terus Tersingkir.

Apabila ajal Hulail bin Hubsiyah menjelang tiba, maka dia telah mewasiatkan agar tugasnya yang terhormat dan berat itu diserahkan kepada anak perempuannya yang paling dicintainya iaitu Hubba yang merupakan isteri Qusai bin Kilab. Tugas al-Hijabah ini adalah satu tugas yang berat tetapi mulia dan terhormat. Soalnya, kenapakah Hulail bin Hubsiyah mahu tugas yang berat ini dipikul oleh anak perempuannya? Bukankah tugas ini hanya sesuai di pikul oleh anak-anak lelaki sahaja?

Ini adalah wasiat Hulail, soal berat atau tidak terdaya dipikul oleh kaum wanita itu adalah soal lain. Persoalannya sekarang ialah perkara wasiat bukan boleh diambil mudah, ianya wajib ditunaikan. Kalau tidak, akan terjadilah apa-apa malapetaka yang akan menimpa orang yang berkhianat kerana tidak mahu menunaikan wasiat seseorang.

Setelah masa berlalu dan usia Hubba binti Hulail pun turut meningkat, serta dengan lemah anggotanya kerana sudah tua dan ramai pula anak-anaknya yang perlu dijaga dan diasuh, maka Hubba binti Hulail tidak berdaya lagi untuk mengurus tugas-tugas al-Hijabah itu. Sekarang dia mahu menyerahkan kunci pintu Kaabah itu kepada orang lain. Kepada siapa?? Tentulah kepada suaminya yang sangat mencintainya dan begitu juga dengannya.

Tetapi apa yang terjadi bukan seperti yang dijangkakan itu. Inilah peristiwa yang paling ajaib yang telah berlaku di dalam sejarah keluarga kaum Khuza’ah yang memerintah Mekah pada zaman Qusai bin Kilab. Dan ini tepat-tepat telah mengena ke atas kepala Qusai bin Kilab sendiri. Hubba binti Hulail tidak menyerahkan kunci pint Kaabah itu kepada suaminya, seorang suku Quraisy, sebaliknya dia telah menyerahkan kepada salah seorang anggota keluarganya yang juga dari kaum Khuza’ah. Maka nampaknya jawatan al-Hijabah itu terlepas dari dapat dimiliki oleh Qusai bin Kilab.

Dari peristiwa ini nampaklah betapa besarnya cinta dan kepercayaan kaum Khuza’ah kepada kaum mereka sendiri melebihi cinta dan kepercayaan kepada suami mereka yang tidak sesuku dengan mereka sehingga mereka tidak akan mewariskan sebarang jawatan besar dan penting kepada suami mereka. Dengan itu terlepaslah peluang Qusai bin Kilab dari dapat merampas kembali hak mereka sebagai pemegang anak kunci Kaabah dan seterusnya menjadi perintis kepadanya untuk mengambil semula jawatan-jawatan penting di dalam petadbiran Kota Mekah itu.

Kunci Kaabah Jatuh ke Tangan Qusai bin Kilab.

Orang Khuza’ah yang merupakan sanak saudara Hubba binti Hulail yang di serahkan oleh Hubba untuk menjawat jawatan petugas al-Hijabah iaitu tugas menjaga atau memegang kunci pintu Kaabah bernama Abu Ghibsyan al-Khuza’i. Dia merupakan seorang yang kuat minum arak dan selalu mabuk. Jelas orang ini sebenarnya tidak layak memegang jawatan yang terhormat dan mulia itu. Tetapi kerana nasibnya yang baik, maka dia telah mendapat tugas yang sangat mulia itu.

Sungguhpun Qusai bin Kilab mengetahui bahawa Abu Ghibsyan adalah seorang oemabuk, tetapi kerana beliau adalah seorang insan yang mempunyai hati yang mulia, beliau langsung tidak mahu mengambil kesempatan untuk keuntungan dirinya terhadap diri Abu Ghibsyan yang pemabuk itu. Kalau Qusai mahu, tentu dia boleh membeli kunci pintu Kaabah itu daripada Abu Ghibsyan al-Khuza’i dengan mudahnya.

Namun kerana sudah ditakdirkan oleh Allah swt bahawa semua jawatan penting di Kota Mekah itu tidak akan kekal di tangan kaum Khuza’ah dan akan berpindah juga ke tangan kaum Quraisy melalui Qusai bin Kilab. Maka pada suatu hari, Abu Ghibsyan yang ketagih arak itu telah datang ke rumah Qusai bin Kilab. Kerana dia tahu bahawa Qusai adalah seorang saudagar yang kaya raya dan tentu boleh menolongnya dengan mudah. Tambahan pula isteri Qusai itu adalah kaum kerabatnya yang sangat dekat dan yang menyerahkan tugas al-Hijabah kepadanya.

Maka kerana itulah, Abu Ghibsyan tanpa segan silu lagi memberitahu kepada Qusai bahawa dia sangat memerlukan arak yang banyak. Oleh itu dia sanggup untuk membayar kepada Qusai dengan apa sahaja, asalkan Qusai dapat menunaikan hajatnya itu dengan segera dan sepadan.

Mendengar permintaan Abu Ghibsyan al-Khuza’i itu kepadanya, maka Qusai menilai bahawa harga setong arak kepunyaannya itu adalah sama dengan harga kunci pintu Kaabah yang dimiliki oleh Abu Ghibsyan itu. Maka Abu Ghibsyan yang sedang ketagih arak itu tidak dapat berfikir panjang, lalu terus menyerahkan kunci Kaabah kepada Qusai bin Kilab sebagai bayaran membeli setong arak.

Perbuatan Abu Ghibsyan yang menjual kunci Kaabah kepada Qusai yang merupakan orang asing kepada suku Khuza’ah akhirnya sampai kepada telinga para pembesar kaum Khuza’ah. Mereka sedar kalau mereka lambat bertindak, maka kunci Kaabah pasti tidak akan dapat kembali ke tangan kaum Khuza’ah lagi. Kerana itulah para pembesar suku Khuza’ah telah berkumpul untuk mengadakan mesyuarat membincangkan persoalan kunci Kaabah yang sudah terjual itu.

Alangkah hangatnya mesyuarat mereka, betapa payahnya mereka mencari jalan untuk merampas kembali kunci yang telah jatuh ke tangan yang datuk neneknya adalah pemilik asal kekuasaan ke atas pintu Kaabah. Lebih-lebih pula Qusai bin Kilab yang merupakan suami kepada Hubba binti Hulail yang berhak di atas kunci Kaabah itu, seorang yang berharta, ramai sanak saudara dan keluarga di Mekah itu dan seorang yang cerdas dan pintar. Mesyuarat para pembesar kaum Khuza’ah itu berjalan tanpa penghujungnya.

Qusai bin Kilab pula adalah seorang manusia yang sangat cerdik. Dia dapat mencium usaha kaum Khuza’ah yang mahu merampas kembali kunci pintu Kaabah dari tangannya. Kenapa kaum Khuza’ah mahu merampas dari tangannya? Kunci Kaabah sudah menjadi miliknya yang sah. Dia membeli kunci itu dari tangan Abu Ghibsyan al-Khuza’i, bukan menipunya atau mencuri darinya. Oleh itu Qusai bin Kilab tetap berazam untuk mempertahankan kunci Kaabah daripada jatuh semula ke tangan kaum Khuza’ah.

Qusai terus bertindak pantas, dia segera mengumpulkan kaum Quraisy terutama sanak saudaranya dan menjelaskan kepada mereka tentang keadaan yang sedang menekan dirinya itu. Qusai menjelaskan betapa kunci Kaabah yang sedang berada di dalam tangannya itu perlu dipertahankan daripada dirampas semula oleh kaum Khuza’ah yang merupakan milik kaum Quraisy sebenarnya. Dan sekarang kaum Khuza’ah sedang berpakat untuk merampas kunci itu daripadanya. Kerana itu Qusai meminta kaum Quraisy agar berdiri di belakangnya.

Apabila kaum Khuza’ah melihat semua kaum Quraisy berdiri dengan teguh di belakang Qusai bin Kilab, maka lemahlah semangat mereka. Tambahan pula kaum Khuza’ah sudah tidak ada lagi para pemimpin yang benar-benar berkaliber. Dan kaum Quraisy pula terus menunjukkan semangat yang membara untuk melawan kaum Khuza’ah. Ini menyebabkan semangat kaum Khuza’ah semakin lemah. Mereka tidak lagi mampu untuk melawan semangat kaum Quraisy yang semakin membara itu. Kaum Khuza’ah hanya berdaya melawan kaum Quraisy dengan menggunakan lidah-lidah mereka sahaja. Akhirnya kaum Khuza’ah telah dihalau keluar dari Kota Mekah.

Keluarlah kaum Khuza’ah dari Kota Mekah dengan hina dinanya. Mereka menjadi hina disebabkan mereka menyerahkan amanah bukan kepada orang yang berhak menerimanya. Beginilah akibatnya kalau tugas atau tanggungjawab di serahkan berdasarkan kepada keluarga atau keturunan. Biarlah orang itu tidak pandai mengurus atau mentadbir, asalkan dia dari keluarga kita, maka kita perlu menyokongnya. Perlu memberi tugas yang penting kepadanya, agar dia menikmati kedudukan yang mulia dan terhormat.

Setelah kaum Quraisy telah dapat memiliki Mekah kembali dari tangan kaum Khuza’ah, maka semua jawatan-jawatan penting di Kota Mekah telah di ambil alih oleh Qusai bin Kilab dan dibahagi-bahagikan kepada suku-suku Quraisy yang bercabang itu.

Jawatan penting dalam pentadbiran Kota Mekah :-


Keturunan Qusai bin Kilab.

Qusai bin Kilab mempunyai 3 orang anak lelaki yang masyhur. Mereka ialah Abu Dhar anak sulung, yang kedua Abdul Manaf, dan yang ketiga Abdul Uzza. Pada mulanya semua jawatan pentadbiran Kota Mekah yang terhormat itu di ambil alih oleh anaknya yang sulung iaitu Abu Dhar. Dan kemudian anak-anak Abu Dhar pula yang mewarisi kesemua jawatan penting di Mekah.

Tetapi setelah kesemua jawatan-jawatan penting Mekah cuba di monopoli oleh keluarga Abu Dhar, maka timbul rasa tidak senang hati daripada saudara-saudara Abu Dhar iaitu Abdul Manaf dan Abdul Uzza. Tetapi kerana Abdul Manaf lebih berwibawa, berjiwa besar, bijaksana dan lebih cerdik berbanding dengan Abdul Uzza, maka akhirnya semua jawatan penting di Kota Mekah telah beralih ke tangannya pula setelah beliau melakukan segala usaha dengan seberapa daya yang termampu menggunakan seluruh kecerdasan, kepintaran dan kebijaksanaan yang terdapat pada dirinya, maka lenyaplah kekuasaan Bani Abu Dhar, dan berpindah tangan pula kepada Abdul Manaf.

Setelah Abdul Manaf bin Qusai meninggal dunia, semua jawatan-jawatan penting di Mekah telah di ambil alih pula oleh anak-anaknya yang empat orang. Kemudian di tahun-tahun kemudiannya iaitu di zaman Abu Talib memimpin Bani Hasyim, jawatan-jawatan itu telah dibahagikan di antara semua suku-suku Quraisy yang masyhur seperti Bani Hasyim, Bani Umayyah, Bani Makhzum, Bani Sahum, Bani Jamuh, Bani Taim, Bani Adi, Bani Zuhrah, Bani Asad, dan Bani Naufal ( semua ini adalah keturunan Quraisy ).

>>>.....2